SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Langkabong terletak di kaki Gunung Bukit Banjaran Trus Madi lebih kurang 35 km jauhnya dari Pekan Telupid iaitu sejam perjalanan menaiki kereta pacuan 4 roda.Sekolah ini mula dibuka pada 1hb April, 1980. Oleh kerana pada masa itu belum ada bangunan sekolah, maka murid-murid menumpang belajar di balai raya yang sedia ada, berukuran 25’ X 40’. Peralatan bagi membina bangunan ini hasil dari kerjasama penduduk kampung walaupun ianya sebuah projek kerajaan BERJAYA pada masa itu. Balai raya ini siap dibina dua tahun sebelum ianya digunakan sebagai sekolah sementara.
Pada tahun itu hanya seorang guru sahaja mengajar yang ditugaskan untuk mengajar di sekolah ini iaitu En. Mandik bin Yadam yang pernah bertugas sebagai Penyelia Pendidik Daerah Telupid dan kini menjadi Guru Besar SK.Maliu Tongod. Beliau merupakan orang pertama membuka sekolah ini dan secara tidak langsung menjadi Guru Besar sekolah ini. Bilangan murid pada masa itu hanya 44 orang sahaja. Murid-murid ini datangnya daripada penduduk sekitar Kampung Langkabong dan Kampung Napagang.
Pada tahun berikutnya iaitu 1981 hingga 1982 atas usaha Cikgu Mandik dan dua orang guru telah diambil bertugas di sekolah ini. Cikgu Saiful Salag bertugas pada tahun 1981. Cikgu Abdul Amit mula bertugas pada tahun 1982. Kedua-dua orang guru ini adalah orang tempatan yang ditugaskan sebagai guru sandaran. Pada masa itu, Jabatan Pelajaran memerlukan guru yang hanya berkelulusan SRP dan LCE kerana keperluan mendesak guru di Daerah Kinabatangan.
Pada pertengahan tahun 1982 Kerajaan BERJAYA menerajui kerajaan Sabah. Encik Amit bin Bindau (Mendiang) selaku wakil Ketua Anak Negeri di kampung ini meminta kerjasama daripada YB. En. Malik Chua untuk memohon bangunan sekolah dari Jabatan Pendidikan memandangkan balai raya tempat murid belajar tidak mencukupi dengan penambahan bilangan murid serta penggunaan balairaya semasa lawatan YB En. Malik Chua. Maka beliau sedar pekara ini akan menjejasakan sistem pembelajaran murid dan seterusnya dengan kerjasama cikgu Mandik merayu kepada Jabatan Pendidikan supaya mewujudkan sebuah bangunan sekolah di kampung ini.
Sebelum akhir tahun 1982 dengan usaha gigih En. Amit bin Bindau telah meminta bantuan daripada beberapa syarikat pembalakan untuk meratakan tapak sekolah yang dirancang. Akhirnya beliau meminta Pengarah Pendidikan untuk melawat tapak tersebut yang mempunyai keluasan 6 ekar. Tapak sekolah ini telah diluluskan dan pada akhir 1982 pembinaan sekolah mula dilaksanakan.
Pada 1 Januari 1983, bermula sejarah baru di kampung ini dengan terbinanya sebuah bangunan sekolah kekal berukuran 26’ X 72’ sebuah bilik pentadbiran dan dua buah bilik darjah/kelas. Di samping seunit rumah guru besar. Bangunan sekolah ini merupakan peruntukan dari Bank Dunia yang mana kawasan sekolah ini juga telah digarankan oleh kerajaan.
Dua bulan selepas pembinaan, murid-murid telah ditempatkan ke bangunan sekolah yang baru. Pertambahan bilangan murid pada tahun 1984 menyebabkan kelas tidak dapat menampung bilangan murid. Hal ini menyebabkan kelas bercantum terpaksa diadakan. Di samping itu, rumah rehat yang sedia ada terpaksa digunakan. Walaupun masalah kawalan kelas seringkali timbul kerana tempat belajar yang tidak begitu teratur namun pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik.
Memandangkan perkara ini terlalu sukar bagi pihak sekolah mengatasinya, Guru Besar pada masa itu iaitu Cikgu Abas bin Ibau telah memohon tambahan bangunan sekolah melalui projek Jabatan Pendidikan telah mempertimbangkan pekara ini. Pada tahun 1985, sebuah bangunan sekolah bersama-sama dengan satu unit rumah guru lagi telah dibina. Bangunan sekolah ini mempunyai tiga buah bilik darjah dan sebuah bilik guru, bilik setor serta sebuah rumah guru berkembar. Semua bangunan ini siap dalam masa sebulan pada tahun itu juga.
Dengan terbinanya bangunan ini tercapailah hasrat guru dan murid untuk belajar dengan lebih selesa. Pada tahun 1988, Guru Besar baru iaitu, Cikgu Lamiri bin Sitih telah meneruskan usaha membangunkan sekolah ini dengan jayanya. Sehingga kini, beberapa kemudahan asas seperti pusat sumber, kantin, padang sekolah serta tempat rekreasi telah diwujudkan atas kerjasama guru-guru dan kakitangan bukan mengajar.
Menyedari betapa pentingnya pendidikan untuk membangunkan masyarakat, kakitangan sekolah ini telah berikhtiar menggembeling tenaga untuk meningkatkan prestasi sekolah dari segi pencapaian akademik serta jumlah murid di sekolah ini. Dari 44 murid pada mula-mula sekolah ini dibuka, pada tahun 2004 sekolah ini telah mempunyai 183 orang murid kesemuanya dan kini sekolah ini telah mempunyai 200 lebih murid termasuk murid prasekolah.